Amalan menjadi sia-sia

Author: .:: ApiSBudaKBaiK::. / Label:

Manusia yang percaya kepada Tuhan melakukan amalan baik. Mereka mengharapkan segala amalan baik yang dilakukan diterima Tuhan. Namun, terdapat antara mereka yang tidak menyedari bahawa harapan tersebut ada yang tidak menjadi realiti. Kerana ada kalanya Dia enggan menerima sebarang amalan daripada orang-orang tertentu. Lantaran itu, amalan mereka menjadi sia-sia belaka, baik di dunia mahupun di akhirat.
Faktor-faktor yang menyebabkan amalan manusia menjadi sia-sia telah dijelaskan Allah di dalam al-Qur'an. Ayat-ayatnya didapati agak banyak, dan diturunkan di bawah ini menurut kronologi:
1. Murtad atau berpaling daripada agama. Firman Allah,
"Dan sesiapa daripada kamu berpaling (murtad) daripada agamanya, dan mati sedang tidak percaya, amalan mereka menjadi sia-sia, di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah orang-orang Api; di dalamya mereka tinggal selama-lamanya." (2:217)
2. Tidak percaya kepada ayat-ayat Allah, dan
a) membunuh Nabi dan manusia yang menyuruh pada keadilan. Firman-Nya,
"Orang-orang yang tidak percaya kepada ayat-ayat Allah, dan membunuh Nabi-Nabi tanpa patut, dan mereka membunuh manusia yang menyuruh pada keadilan, maka berilah mereka berita gembira dengan azab yang pedih. Mereka itu, amalan-amalan mereka menjadi sia-sia di dunia dan di akhirat; mereka tidak ada penolong." (3:21-22)
b) pertemuan dengan-Nya. Dan usahanya sesat tetapi menyangka mereka berbuat baik. Firman Allah,
"Orang-orang yang usahanya menjadi sesat di dalam kehidupan dunia sedang mereka menyangka bahawa mereka berbuat perbuatan baik. Mereka itulah orang-orang yang tidak percaya kepada ayat-ayat Pemelihara mereka, dan pertemuan dengan-Nya; amalan-amalan mereka menjadi sia-sia, dan pada Hari Kiamat, Kami tidak menegakkan bagi mereka sebarang penimbangan." (18:104-105)
c) menghalangi orang lain daripada jalan Allah. Firman-Nya
"Orang-orang yang tidak percaya, dan menghalangi daripada jalan Allah, Allah menyesatkan (menghilangkan) amalan-amalan mereka." (47:1)
d) menghalangi orang lain daripada jalan Allah, dan melawan rasul setelah petunjuk (al-Qur'an) menjadi jelas. Di sini, sikap yang negatif terhadap petunjuk setelah ia menjadi jelas juga diertikan seperti melawan rasul, kerana rasul yang menyampaikannya. Firman Allah,
"Orang-orang yang tidak percaya, dan menghalangi daripada jalan Allah, dan melawan rasul setelah petunjuk menjadi jelas bagi mereka, mereka tidak akan sedikit pun memudaratkan Allah, dan Dia akan menjadikan sia-sia amalan-amalan mereka." (47:32)
Sebenarnya juga, amalan orang-orang yang tidak percaya kepada ayat-ayat Allah, lalu tidak mentaatinya, walaupun mengaku Islam, adalah seperti fatamorgana sahaja. Firman-Nya,
"Dan orang-orang yang tidak percaya, amalan-amalan mereka seperti fatamorgana di dataran yang luas, di mana orang yang dahaga menyangkanya air, sehingga, apabila dia mendatanginya, dia mendapatinya tiada sama sekali; dan dia mendapati Allah di sisinya, dan Dia membayar perhitungannya dengan sepenuhnya; dan Allah cepat membuat perhitungan." (24:39)
3. Percaya kepada ayat-ayat Allah, tetapi mempergunakan wanita untuk berzina atau untuk dijadikan teman rahsia (mistress). Mereka yang berbuat demikian dikatakan tidak percaya (kafir) dalam keimanan. Firman-Nya,
"Begitu juga (dihalalkan) wanita-wanita yang mukmin, dalam pernikahan, dan menikahi wanita-wanita daripada mereka yang diberi al-Kitab sebelum kamu, jika kamu memberikan mereka upah mereka, dalam ikatan perkahwinan, bukan dalam perzinaan, atau menjadikannya teman rahsia. Sesiapa yang tidak percaya dalam keimanan, amalannya menjadi sia-sia, dan di akhirat dia termasuk orang-orang yang rugi." (5:5)
4. Percaya kepada ayat-ayat Allah, tetapi menolak orang-orang lain yang bersumpah berada bersama mereka dalam pakatan. Firman Allah,
"Dan orang-orang yang percaya akan berkata, 'Adakah ini orang-orang yang bersumpah dengan Allah, dengan sumpah segenap hati, bahawa mereka adalah berserta kami?' Amalan-amalan mereka menjadi sia-sia; mereka menjadi orang-orang yang rugi." (5:53)
5. Menyekutukan Allah. (Sila rujuk artikel Al-Qur'an dan Sekutu Allah untuk mengenali siapa sebenarnya orang-orang yang menyekutukan Allah.) Firman-Nya.
"Itulah petunjuk Allah; Dia memberi petunjuk dengannya kepada siapa yang Dia mengkehendaki daripada hamba-hamba-Nya; sekiranya mereka orang-orang yang mempersekutukan, nescaya sia-sialah bagi mereka apa yang mereka telah buat." (6:88)
Orang-orang yang menyekutukan Allah turut didapati di masjid-masjid, seperti mereka yang memakmurkannya. Firman Allah,
"Tidaklah patut bagi orang-orang yang menyekutukan untuk memakmurkan masjid-masjid Allah, dengan menyaksikan terhadap diri-diri mereka sendiri, akan ketidakpercayaan; mereka itu, amalan-amalan mereka menjadi sia-sia, dan di dalam Api, mereka tinggal selama-lamanya." (9:17)
6. Mendustakan ayat-ayat Allah dan pertemuan di akhirat. Frasa mendustakan ayat-ayat Allah adalah jelas dengan sendirinya tetapi mendustakan pertemuan di akhirat boleh juga diertikan seperti tidak takut kepada balasan di akhirat. Firman-Nya,
"Orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, dan pertemuan di akhirat, amalan-amalan mereka menjadi sia-sia; tidakkah mereka akan dibalas melainkan apa yang mereka buat?" (7:147)
7. Hanya mengambil bahagian kesenangan setelah menjadi kuat dan kaya. Atau, asyik hendak enjoy sahaja. Firman-Nya,
"Seperti orang-orang yang sebelum kamu, yang lebih kuat daripada kamu dalam kekuatan, dan lebih banyak dalam harta dan anak-anak; mereka mengambil kesenangan dengan bahagian mereka; maka kamu mengambil kesenangan dengan bahagian kamu, sebagaimana orang-orang yang sebelum kamu mengambil kesenangan dengan bahagian mereka. Kamu terjun sebagaimana mereka terjun. Bagi mereka itu, amalan-amalan mereka menjadi sia-sia di dunia dan di akhirat; mereka itu, merekalah orang-orang yang rugi." (9:69)
8. Menghendaki dunia dan perhiasannya apabila membuat sesuatu kerja. Mereka akan dapat dunia dan perhiasannya, tetapi di akhirat segala kerjanya menjadi sia-sia sahaja lalu dicampakkan ke dalam neraka dan duduk kekal di dalamnya. Firman Allah,
"Sesiapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, Kami akan membayar kepada mereka sepenuhnya untuk amalan-amalan mereka di dalamnya, dan mereka tidak dirugikan di dalamnya. Mereka itulah orang-orang yang tiada bagi mereka di akhirat kecuali Api, dan usaha mereka menjadi sia-sia di dalamnya, dan palsulah kerja-kerja mereka." (11:15-16)
9. Kikir serta menghalangi orang lain daripada berperang untuk Allah. Juga bersifat pengecut dan tidak mempercayai. Firman Allah,
"Sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang antara kamu yang menghalangi, dan orang-orang yang berkata kepada saudara-saudara mereka, 'Datanglah kepada kami', dan mereka tidak mendatangi peperangan kecuali sedikit, Dengan kikir kepada kamu. Apabila ketakutan datang kepada mereka, kamu melihat mereka memandang kepada kamu, dengan mata-mata mereka berputar-putar seperti orang yang ditutupi kematian; tetapi apabila ketakutan telah pergi, mereka mencela kamu dengan lidah yang tajam, dengan kikir untuk memiliki yang baik. Mereka itu tidak pernah mempercayai; Allah menjadikan sia-sia amalan-amalan mereka; dan itu, bagi Allah, mudah." (33:18-19)
10. Benci pada apa yang Allah turunkan (Sila rujuk Kalimat benci di dalam al-Qur'an.) Firman-Nya,
"Itu adalah kerana mereka benci pada apa yang Allah menurunkan, maka Dia menjadikan sia-sia amalan-amalan mereka." (47:9)
11. Buat apa yang Tuhan marah. (Sila rujuk Kalimat marah atau murka di dalam al-Qur'an.) Firman-Nya,
"Itu adalah kerana mereka mengikuti apa yang menyebabkan kemurkaan Allah, dan membenci kepuasan hati-Nya, maka Dia menjadikan sia-sia amalan-amalan mereka." (47:28)
12. Tidak taat kepada Allah dan rasul. Rasul hanya menyampaikan ayat-ayat-Nya (5:92 dan 24:54). Firman Tuhan,
"Wahai orang-orang yang percaya, taatlah kepada Allah dan taatlah kepada rasul, dan janganlah menjadikan amalan-amalan kamu sia-sia." (47:33), dan akhir sekali,
13. Menaikkan suara di atas suara Nabi ketika berinteraksi dengannya. Firman Allah,
"Wahai orang-orang yang percaya, janganlah menaikkan suara-suara kamu di atas suara Nabi, dan jangan kamu melantangkan ucapan kamu kepada dia, seperti kelantangan sebahagian kamu kepada sebahagian yang lain, supaya tidak menjadi sia-sia amalan-amalan kamu, sedang kamu tidak menyedari." (49:2)
Demikian petikan ayat-ayat al-Qur'an mengenai amalan manusia yang akhirnya menjadi sia-sia belaka. Tidak ada balasan yang baik lagi kekal bagi mereka kecuali neraka. Lantas ia mengingatkan manusia bahawa membuat amalan atau kerja-kerja yang baik bukanlah satu-satunya dalam agama.
Artikel yang saya baca, banyak mengajar saya tentang agama seba sedikit....
harap rakan2 berminat nak membacenye....

0 umpatan atau pujian:

Catat Ulasan