Puan Figg membantu Harry membawa Dudley pulang. Di rumah, Dudley menuduh Harry melakukan sihir ke atasnya yang membuatkan Harry terpaksa berterus terang ketika rumah tersebut di serang oleh beberapa ekor burung hantu membawa surat untuk Harry daripada bapa angkatnya, Sirius, Arthur Weasley dan surat amaran daripada Kementerian Sihir. Keluarga Dursley hampir menghalaunya keluar hinggalah Petunia memperolah sepucuk Howler yang mengingatkan Petunia akan sesuatu.
Pada suatu malam, keluarga Dursley keluar dari rumah dan meninggalkan Harry keseorangan. Dalam kesunyian malam, Harry menerima kunjungan daripada beberapa orang ahli sihir yang sebahagian daripada mereka dikenali Harry seperti Profesor Lupin dan 'Profesor' Moody. Turut berkenalan dengannya ahli sihir yang baru dijumpanya seperti Nymphadora Tonks dan Kingsley Shacklebolt. Mereka akan membantu Harry keluar dari rumah tersebut ke tempat lain yang masih tidak diketahui Harry lagi. Mereka menyuruh Harry menaiki penyapu bersama mereka dengan kawalan yang ketat memandangkan Harry tidak boleh melakukan Penjelmaan. Harry dibawa ke sebuah rumah yang terletak di London. Harry tiba di sebuah tempat yang diberitahu sebagai markas Kumpulan Phoenix. Dia terkejut kerana menemui Hermione dan Ron serta burungnya, Hedwig, di sana. Harry melepaskan geram yang dipendam kepada Hermione dan Ron kerana terpaksa berkurung dan berhadapan dengan banyak masalah di rumah keluarga Dursley sedangkan Hermione dan Ron bersama-sama dengan ahli keluarga Weasley lain berada di situ (dan mungkin mengetahui banyak perkara yang Harry sendiri tidak tahu). Ketika itu juga Harry mengetahui banyak perkara yang berlaku dalam masyarakat sihir yang selama ini beliau tak pernah terfikir untuk ambil tahu iaitu dia dan Profesor Dumbledore telah dibenci oleh kebanyakan ahli sihir akibat propaganda yang dibuuat oleh Kementerian Sihir. Kemunculan Fred, George dan Ginny mengurangkan ketegangan keadaan dan mereka berbincang tentang rahsia yang mungkin dijalankan oleh Kumpulan Phoenix itu sendiri.
Setelah selesai mesyuarat Kumpulan Phoenix, Harry mendapati ramai ahli sihir yang menyertai dan kebanyakannya dikenali Harry seperti ibu bapa Ron dan Sirius sendiri. Harry mengetahui yang rumah tersebut adalah rumah pusaka keluarga Black yang mengikut warisan, kini dimiliki oleh Sirius. Sirius sendiri yang sudi menyerahkan rumahnya untuk dijadikan markas Kumpulan Phoenix memandangkan dia tidak mahu berasa sunyi dan keseorangan. Di dalam rumah tersebut, turut ada elf rumah milik orang tua Sirius bernama Kreacher.
Setelah berjumpa dengan semua yang ada di rumah itu, Harry mendesak semua orang untuk memberitahu keadaan sebenar setelah Sirius kagum yang Harry tidak bertanya kepada mereka tentang Voldemort. Molly tidak senang akan hal tersebut lalu menimbulkan pertengkaran antara Molly dan Sirius. Remus menenangkan keadaan dan bersetuju untuk menerangkan kepada Harry perkara yang patut sahaja. Hal yang diceritakan di meja makan masih dibualkan oleh Harry, Ron, Fred dan George sebelum mereka masuk tidur. Keesokan harinya, mereka yang tinggal di rumah itu (keluarga Weasley, Harry, Hermione dan Sirius) bersama-sama mengemas rumah tersebut agar lebih selamat dan sesuai untuk didiami manusia. Ketika mengemas, Sirius menunjukkan Harry salasilah keluarga Black yang tertera di atas sehelai kain dewangga.
Malam tersebut, keseronokan Harry pudar akibat perbicaraan yang telah ditetapkan untuknya bagi kes melakukan sihir Patronus tempoh hari. Harry tidak berasa sedap hati tentang hal tersebut dan berharap yang semuanya akan selamat dengan cepat.
Pagi tersebut, Harry bangun awal dan diiringi Arthur Weasley ke Kementerian Sihir sebelum ke perbicaraan tersebut. Harry bersama-sama Arthur menaiki kereta api bawah tanah London dan menggunakan pondok telefon sebelum memasuki ke premis kementerian tersebut. Di kementerian, Harry mengikut Arthur ke pejabatnya dahulu tetapi kemudian diberitahu yang perbicaraan telah diawalkan.
Pada sidang tersebut, Harry ditempatkan pada sebuah kursi yang berantai, yang dahuulu pernah dilihatnya rantai-rantai tersebut mengikat tangan Barty Crouch Jr. sewaktu berada di dalam pensieve Dumbledore. Setelah beberapa lama perbicaraan dimulakan dan ternyata yang mendampinginya dalam sidang itu adalah Dumbledore sendiri, namun ia akhirnya kecewa kerana Dumbledore tidak sedikitpun melihat wajahnya bahkan langsung tidak berbicara padanya. Dalam sidang itu, dihadirkan saksi iaitu Arabella Figg yang merupakan seorang Squib yang memberi kesaksian bahawa dia juga melihat Dementor dan Harry yang mengusir Dementor dengan menggunakan mantera Patronus untuk menyelamatkan nyawanya dan nyawa Dudley Dursley.
Selanjutnya, Harry masih berasa kecewa kerana Dumbledore tetap tidak mahu menatapnya dan bercakap dengan setelah tamat perbicaraan walaupun sekedar mengucapkan selamat padanya. Akhirnya, Harry pun keluar dari bilik perbicaraan.
Di luar, Arthur Weasley menunggunya dan setelah mengetahui bahawa Harry bebas dari segala tuduhan, dia turut gembira. Dalam kegembiraannya itu, dia melihat Lucius Malfoy bersama dengan Cornelius Fudge yang ternyata mereka memiliki janji untuk membicarakan sesuatu yang Harry tidak ketahui. Setibanya di Grimmauld Place, Puan Weasley, Ron, Hermione, Fred, George, dan Ginny menyambutnya dengan gembira setelah mengetahui bahawa Harry bebas.
Perubahan di Hogwarts
Keputusan yang Harry telah bebas daripada sebarang tuduhan membawa kegembiraan kepada seluruh isi rumah Nombor 12, Grimmauld Place. Walau bagaimanapun, Harry berasa tawar hati apabila melihat rakannya, Hermione dan Ron dilantik menjadi pengawas dan bukan dirinya. Jamuan meraikan perlantikan malam itu memberi peluang untuk Mad-Eye menunjukkan kepada Harry gambar ahli Kumpulan Phoenix yang dahulu serta ibu bapa mereka. Selepas itu, ketika Harry pulang ke biliknya, dia terserempak dengan Puan Weasley yang teresak-esak berhadapan dengan boggart yang kemudiannya diselesaikan oleh Lupin.
Harry dan yang lain bersiap untuk ke sekolah sambil diiringi ahli-ahli Kumpulan Phoenix. Sirius berdegil untuk turut menghantar sama ke Stesen King's Cross yang memungkinkan dirinya terancam atau dilihat ahli sihir lain. Dalam Ekspres Hogwarts, Harry berpecah dengan Ron dan Hermione yang terpaksa menjalankan tugas sebagai pengawas dan duduk segerabak dengan Neville, Ginny dan kawan Ginny daripada Ravenclaw iaitu Luna Lovegood.
Setiba Harry di Hogwarts, Harry terlihat haiwan pelik yang membawa pedati mereka yang tidak pernah dilihatnya sebelum itu bahkan dia berasa pelik kerana Ron tidak dapat melihatnya. Kemudian, Luna mencelah yang dia turut dapat melihatnya walaupun Harry tidak yakin degan jawapan Luna.
Jamuan kali ini, Harry terkejut yang Dolores Umbridge, salah seorang panel juri ketika perbicaraannya turut berada di meja guru. Kemudian, diketahui yang dia akan mengajar Pertahanan Terhadap Ilmu Hitam. Lagu Topi pengisih kali ini pula lebih panjang yang berunsurkan sejarah, nasihat serta amaran yang Hermione rasakan ada makna di sebaliknya. Begitu juga ucapan alu-aluan Umbrdge yang panjang dan membosankan, Hermione turut mengetahui apa isi kandungan sebenar dalam ucapan itu.
Di asrama Gryffindor, berlaku pertelingkahan antara Harry dan Seamus Finnigan tentang pengakuan Harry dan Dumbledore tentang kebangkitan semula Lord Voldemort.
Kelas bermula bagi penggal baru. Harry dan rakan-rakannya mula berasa cemas akan tahun yang mereka bakal hadapi peperiksaan penting iaitu P.S.B. Kelas bersama Profesor Snape tidak menggembirakan manakala kelas Peramalan oleh profesor Trelawney masih membosankan. Berbeza kali ini untuk kelas Pertahanan Terhadap Ilmu Hitam dengan Umbridge, suasana dirasakan amatlah tegang. Berbeza dengan tahun yang sudah, pembelajaran secara amali tidak digunapakai tetapi pembelajaran yang ditekankan hanyalah teori. Harry menegaskan kepentingan latihan amali dalam subjek tersebut tetapi dibantah Umridge sehingga Harry membidas kembali bahaya yang wujud kini apabila Voldemort bangkit. Umbridge sedaa-upaya menafikannya dan kedegilan Harry membawanya kepada tahanan.
Fred dan George Weasley masih mengeksperimenkan sesetengah barang leluconnya sambil memajukan dan menjual barang yang lain. Keadaan ini tidak menyenangkan Hermione yang turut sama menarik Ron untuk menyelesaikan masalah ini. Angelina Johnson yang merupakan kapten Quidditch Gryffindor untuk tahun ini memberitahu Harry tentang sesi latihan mereka yang bakal berlangsung tetapi berselisih dengan waktu tahanan dengan Profesor Umbridge. Umbridge mengegaskan yang tahanan adalah suatu perkara yang bukan untuk dibuat tolak ansur. Kemudian, tahanan Harry amat memeritkan apabila dia terpaksa menulis suatu penafian tetapi dengan darahnya.
Pemberontakan Tentera Dumbledore
Harry mengirimkan surat kepada Sirius tentang apa yang berlaku pada dirinya. Ketika hendak mengirimnya, Harry terserempak dengan Cho Chang yang kemudiannya Cho membantu Harry dari ditangkap Filch yang mengesyaki Harry menghantar Bom Tahi.
Harry, Hermione dan Ron membaca berita yang kedatangan Sirius ketika di Platform ¾ dikesan oleh ahli sihir yang disyakinya Lucius Malfoy. Mereka turut membaca berita tentang pencerobohan di Kementerian Sihir oleh ahli Kumpulan Phoenix. Latihan Quidditch bersama Ron juga tidak berapa menyenangkan apabila terlalu banyak kesilapan dilakukan Ron. Ron kemudiannya menerima sepucuk surat daripada abangnya, Percy yang menghasut Ron agar meninggalkan Harry. Sirius kemudiannya berhubung dengan Harry di melalui tempat perapian.
Hogwarts dikejutkan oleh perlantikan Dolores Umbridge sebagai Pegawai Penyoal Siasat Tetinggi Hogwarts yang pertama dalam sejarah. Perlantikan ini memberikannya kuasa yang tidak terdapat pada guru-guru lain dan dia kini boleh menggubal Dekri Pendidikan serta memeriksa tahap pencapaian guru-guru. Pemeriksaan yang dijalankan oleh Umbridge ke atas guru-guru lain tidak menyenangkan bagi semua guru. Walau bagaimanapun, ia menarik minat pelajar apabila guru mereka (terutama guru yang tidak disukai) dinilai oleh orang yang juga tidak disukai mereka.
Pembelajaran Pertahanan Terhadap Ilmu Hitam secara teori tidak berapa memuaskan hati pelajar terutama Hermione dan dicadangkannya agar mereka belajar sendiri latihan praktikal subjek tersebut di kalangan mereka dan terutama diajar oleh Harry sendiri memandangkan dia paling berpengalaman dalam bidang itu.
Ketika hujung minggu di Hogsmeade, Hermione mengajak Harry dan Ron ke bar Hog's Head untuk membincangkan apa yang dicadangkan Hermione sebelum itu. Hermione memberitahu yang dia ingin menjadikan tempat itu sebagai tempat perjumpaan pertama bagi beberapa orang pelajar yang ingin turut serta memperlajari subjek itu bersama mereka. Tetapi, kemudiannya, beberapa orang pelajar itu menjadi ramai dan Harry mula tidak berapa yakin dengan cadangan Hermione. Perbincangan bermula dan mereka bermesyuarat akan kumpulan yang ingin ditubuhkan mereka dengan beberapa perlantikan dan cadangan.
Beberapa hari sekembalinya mereka dari perjumpaan itu, Dekri Pendidikan baru telah dikeluarkan oleh Umbridge yang mengharamkan semua persatuan dan perjumpaan berkumpulan yang kerap tanpa kebenarannya. Hal ini memberi petunjuk yang seolah-olah Umbridge tahu perjumpaan mereka di Hog's Head tempoh hari. Semua persatuan dan pasukan terpaksa didaftarkan semula kepada Umbridge.
Harry dan sahabat berduanya itu kemudian berhubung dengan Sirius dan bercerita tentang keputusan mereka yang ingin menubuhkan kumpulan rahsia. Sedang mereka berbual melalui perapian, perbualan mereka disekat oleh Umbridge.
Disebabkan kini, sebarang perjumpaan berkumpulan pelajar diharamkan, Harry mendapat kesukaran untuk mencari tempat bagi mereka berkumpul dan berlatih. Mujurlah Dobby, pari-pari rumah yang bekerja di Hogwarts tahu tempat yang sesuai untuk itu. Dobby menyarankan agar Bilik Keperluan digunakan.
Harry menurut cadangan Dobby dan ternyata Bilik Keperluan itu amat sesuai dengan tersedianya segala kemudahan bagi kegunaan mereka. Pelajar yang lainnya tiba kemudian dan sebelum mereka memulakan sebarang latihan, Hermione meminta agar diusulkan satu nama untuk kumpulan mereka. Pelbagai nama yang muncul dan akhirnya, cadangan Ginny telah diterima. Kumpulan itu kini dinamakan "Tentera Dumbledore".
Harry kini merasakan yang dia dan kumpulan TD-nya sedang menentang Umbridge dan dia berasa amat kagum. Perlawanan Quidditch antara pasukan Gryffindor dan Slytherin tiba. Keadaan sangat tidak pasti sama ada Gryffindor mampu atau tidak mengalahkan pasukan Slytherin terutama dengan Keeper baru mereka iaitu Ron Weasley. Keadaan diterukkan lagi dengan pelajar Slytherin menyanyikan lagu untuk menjatuhkan semangat Ron sehingga dia tidak yakin untuk menangkap bola Quaffle.
Walau bagaimanapun, kemenangan Gryffindor kemudiannya tidak menyenangkan Harry apabila dia dan George digantung daripada bermain Quidditch selama-lamanya. Penyapu mereka turut disita dan ini amat mengejutkan seluruh ahli Gryffindor termasuk Profesor McGonagall. Segala kegeraman Harry terhenti buat seketika apabila mereka mengetahui yang Hagrid sudah pulang.
Kepulangan Hagrid amat mengejutkan Harry Potter, Hermione dan Ron apabila mereka mendapati yang Hagrid mendapat kecederaan yang teruk sepanjang pemergiannya. Mereka meminta Hagrid menceritakan ke mana dia pergi. Pada mulanya Hagrid enggan tetapi apabila dia ketahui yang Harry telah diserang Dementor dan nyaris dibuang sekolah, dia terpaksa bercerita kerana berminat untuk bertukar cerita tentang Harry kemudiannya. Hagrid kemudiannya menceritakan kisahnya menemui kumpulan gergasi di kawasan pedalaman pergunungan bersama Olympe Maxime atas arahan Albus Dumbledore. Mereka kemudian terganggu dengan kehadiran Umbridge di pondok Hagrid yang menunjukkan sudah sampai waktu untuk mereka pulang ke asrama.
Kelas Hagrid akhirnya bermula tetapi Hermione tidak yakin kerana didapatinya yang Umbridge bakal menyingkirkannya juga daripada sekolah kerana dia merupakan separa manusia (yang dibenci Umbridge) dan sekutu rapat Dumbledore. Kelas pertamanya setelah pulang ialah tentang "Thestral" yang juga haiwan yang dilihat Harry membawa pedati mereka ketika bermulanya penggal sekolah tempoh hari. Seperti diagak, Umbridge datang untuk menilai pengajaran Hagrid yang dirasakan Umbridge sangat tidak sesuai dan menakutkan pelajar (alasan Umbridge).
Krismas yang sugul
Krismas bakal menjelang dan Harry sekali lagi berjumpa denga Cho. Cuma pada kali ini, Cho mencium Harry yang dirasakan Harry, tidak seperti apa yang diagaknya, kerana Cho sedang menangisi seseorang. Harry masih terfikirkannya sehingga termimpi dan dalam tidurnya itu, mimpinya bertukar. Dia merasakan dirinya seekor ular dan menyerang Arthur Weasley. Harry tersedar dan menyedari keadaan kini bahaya kerana dirasakan apa yang dilihatnya di dalam tidur itu suatu kenyataan. McGonagall muncul dan mencadangkan untuk membawa Harry berjumpa pengetua.
Profesor McGonagall membawa Harry dan adik-beradik untuk berjumpa dengan Dumbledore. Dumbledore masih lagi tidak memandang kepada Harry selepas mendengar penjelasan Harry dan menyuruh pengetua di potret untuk membuktikan kebenaran. Encik Weasley dikenalpasti dipatuk ular dan akan dihantar ke hospital. Dumbledore menghantar Harry dan adik-beradik Weasley ke rumah lama keluarga Black dengan Kunci Gerbang dan sebelum Harry meninggal, Dumbledore merenung kepadanya dan Harry tiba-tiba mempunyai perasaan benci terhadap Dumbledore dan ingin menyerang dan mematuknya. Selepas sampai ke rumah lama keluarga Black, Sirius menghalau Kreacher keluar dari dapur bawah tanah. Encik Weasley terselamat dari maut. Harry mnemberitahu Sirius tentang perasaan bencinya terhadap Dumbledore tetapi Sirius menenangnya. Mereka melawat Encik Weasley pada tengah hari. Ketika melawat Encik Weasley, Puan Weasley tidak membenarkan Fred dan George menanya kepada Encik Weasley tentang peristiwa dipatuk ular. Mereka menggunakan Telinga Panjang untuk mencuri dengar perbualan antara Encik dan Puan Weasley dengan Moody dan Tonks. Moody menyatakan bahawa Harry kemungkinan dikuasai oleh Voldemort.
Selepas balik ke rumah lama keluarga Black, Harry mengurung diri dalam bilik. Dia menyimpulkan bahawa dialah merupakan sejata Voldemort seperti yang dikatakan oleh ahli Kumpulan phoenix. Harry mengambil keputusan untuk meninggalkan tempat tersebut dan balik ke Privet Drive kerana bimbang rahsia kumpulan phoenix akan diketahui oleh Voldemort. Walau bagaimanapun. kemunculan Phineas dalam potret membawa pesanan Dumbledore yang menyuruh Harry berada di tempat itu. Harry terus msembunyikan diri sehingga hari kedua. Hermione sampai ke rumah lama keluarga Black dan menasihat Harry untuk bercakap dengan mereka lagi. Ginny memberitahu Harry bahawa dia tidak dikuasai oleh Voldemort kerana seseorang yang dikuasai tidak dapat mengingati apa-apa yang sudah dibuat olehnya tetapi keadaan Harry bukan demikian. Mereka menghiasi rumah tersebut kerana menjelang Hari Krismas. Ketika mereka melawat Encik Weasley, Puan Weasley marah dengan Encik Weasley yang main-main dengan mencubai rawatan Muggle. Dengan segera Harry, Ron, Hermione dan Ginny meninggalkan wad Encik Weasley dan terjumpa dengan Gilderoy Lockhart di wad tertutup. Mereka juga terserempak dengan Neville dan neneknya yang melawat ibu bapa Neville yang sudah gila akibat didera oleh Bellatrix Lestrange. Apabila Harry pulang, Severus Snape mengajar Harry subjek Oklumensi atas arahan Dumbledore untuk menutup mindanya dari pencerobohan, tetapi kebencian antara satu sama lain menyebabkan pelajaran itu terhenti separuh jalan. Dalam pembelajaran itu juga, Harry secara tidak sengaja telah melihat ingatan Snape ketika zaman persekolahannya dan terkejut melihat bapanya James Potter membuli Snape dan bertindak angkuh seperti yang dikatakan selalui oleh Snape.
Pertarungan di Jabatan Misteri
Ketika pertengahan peperiksaan P.S.B. kertas akhir, Harry mendapat satu bayangan yang menunjukkan Sirius disiksa di Jabatan Misteri, walaupun Hermione mengesyaki bahawa ia satu perangkap. Harry, dengan bantuan rakan-rakan dari Tentera Dumbledore, cuba untuk menghubungi Sirius di Grimmauld Place melalui Rangkaian Floo di perapian pejabat Umbridge, tetapi dia ditangkap. Mempercayai yang Harry ingin menghubungi Dumbledore yang ketika ini dalam persembunyian, Umbridge menyoal Harry, yang bersumpah tidak mengetahui di mana Dumbledore berada. Umbridge memanggil Snape untuk membawa serum kebenaran, tetapi Snape mengatakan dia kehabisannya. Sebelum dia beredar, Harry dengan terdesak memberitahu kata rahsia kepadanya tentang bayangan Sirius.
0 umpatan atau pujian:
Catat Ulasan